6 Peringkat bermain Kanak-Kanak (Social Stage of Play)

Peringkat bermain kanak-kanak bermula sejak di dalam rahim ibunya, menendang & bergerak di dalam rahim.

Apabila dilahirkan, anak akan menyesuaikan dirinya dengan persekitaran. Selari dengan anak membesar, cara bermain anak juga akan berubah sepanjang masanya membesar menjadi dewasa.

Seringkali kita melihat anak-anak yang bermain seorang diri atau bersama teman rakannya atau bermain bersebelahan seseorang.  Ini adalah sebahagian dari peringkat bermain anak-anak. Ia sangat penting dalam membentuk perkembangan anak-anak.

Artikel kali ini menceritakan tahap bermain anak. Tulisan ini akan menghuraikan lebih lanjut artikel yang dikongsikan dari encourageplay.com social stages of play mudahan Ibu ayah dapat mengenali dengan lebih baik cara anak bermain. Semoga bermanfaat.

 

picture credit to encourageplay.com
 
tahap cara bermain anak
credit to verywell

6 Peringkat bermain Kanak-Kanak

Bermain kosong (unoccupied play)

Apabila anak melakukan pergerakan rawak tanpa tujuan yang jelas sebagaimana seorang bayi menggerakkan tangan dan kakinya serta mengenggam tangan.

Ini adalah permulaan cara bermain anak untuk belajar pergerakan kordinasi tubuh badannya.

Pergerakan ini bermula ketika umur anak masih bawah 3 bulan, iaitu semenjak dilahirkan sehingga bayi berumur 3 bulan. Malah pergerakan bermain kosong (menendang dan bergerak) ini sudah bermula ketika anak masih di dalam rahim ibu!!

 

Bermain bersendirian (solitary play)

Apabila anak sudah berumur antara 3 bulan hingga 2 tahun mereka akan mula bermain bersendirian (solitary play). Anak akan bermain bersendirian tanpa menyedari serta tidak mengambil tahu orang sekelilingnya atau kanak-kanak lain yang duduk bermain bersebelahan.

Biasanya pergerakan mereka adalah meniarap, duduk, dan merangkak ketika masih bawah 1 tahun. Manakala anak akan sudah mampu berdiri dan berjalan ketika umur anak mencecah 2 tahun.

Anak akan mencapai dan meneroka apa saja yang ada di sekelilingnya dan bermain bersendirian.

Kelakuan mereka bermain bersendirian pasti setiap Ibu ayah pernah melihat dan mereka sangat tidak suka diganggu. Jika diganggu atau diambil mainan pasti akan menjerit dan menangis tanda marah.

Jika anda meletakkan mainan bersebelahan anak pasti akan diambil mereka dengan mencapai, memegang, sambil memusing mainan.

Malah anak juga akan mengetuk, membaling dan memasukkan mainan ke dalam mulut. Ini semua adalah cara anak bermain berseorangan dan perlulah dipantau ibu ayah.

Manakala untuk anak yang sudah mampu bergerak berjalan ke sana sini seperti merangkak dan berjalan, mereka akan berjalan ulang alik dari satu tempat ke satu tempat dan mencapai apa saja yang ingin mereka mainkan.

Anak sangat gemar meneroka dan bermain berseorangan dan mereka berasa puas bermain dengan penerokaan objek sekeliling yang mereka jumpai dan main berseorangan.

Oleh itu ibu ayah tidak perlu menganggu anak bermain sebaliknya pantau pergerakan anak dan beri anak meneroka seperti memanjat sofa atau tangga biarkan mereka belajar sesuatu dari sekeliling sambil dipantau ketat ibu ayah untuk mengelakkan risiko tidak diingini berlaku.

Setelah anak puas bermain dan belajar benda baru, mereka tidak akan lagi bermain di kawasan yang sama.

Ia lebih mudah bukan dari menghalang kehendak mereka pasti letih malah menghalang mereka akan menghalang pembelajaran anak meneroka benda baru dan mendapat kepuasan bermain.

Ibu ayah juga boleh berinteraksi dengan anak semasa mereka bermain berseorangan, tapi jangan sehingga mengganggu anak bermain.

Interaksi ibu ayah akan sedikit sebanyak membantu anak untuk menyedari orang dan juga objek di sekelilingnya.

Bermain sambil belajar (onlooker play)

Biasanya anak umur dalam 2 tahun dan ke atas akan mula belajar untuk bermain sambil belajar (onlooker play) di mana anak akan mula meniru apa saja yang dilihat mereka.

Anak mungkin akan bertanya sambil memerhati kanak-kanak lain bermain, tapi tidak ada usaha untuk menyertai bermain bersama.

Ini mungkin berlaku kerana anak berasa malu, atau tidak tahu peraturan bermain atau mungkin juga tidak mahu lansung bermain permainan yang dilihatnya hanya sekadar melihat sahaja.

Anak akan lebih pada memerhati kanak-kanak lain bermain atau melihat pergerakan aktiviti orang dewasa di sekelilingnya dan meniru mereka.

Ketika ini adalah proses di mana anak akan mula meniru Ibu ayah. Ini adalah masa yang sesuai untuk menunjukkan contoh teladan yang baik pada anak.

Anak itu ibarat kain putih yang belum dicorakkan. Ketika anak bermain sambil belajar (onlooker play) bermula maka kelakuan anak akan dicorakkan oleh permerhatian anak dan ibu ayah haruslah memainkan peranan.

Anak akan melihat kanak-kanak lain bermain dan mula meniru cara mereka bermain malah meniru kelakuan mereka.

Selain meniru cara bermain anak juga akan meniru gaya pergerakan, percakapan malah cara membuat kerja.

Ketika waktu ini Ibu ayah boleh bersama bermain dengan anak untuk mengajar anak cara bermain dengan betul dan turut mengajar anak bercakap dan berinteraksi.

Bermain bersebelahan atau selari (parallel play)

Anak akan mula bermain bersebelahan dengan kanak-kanak lain tetapi tidak ada interaksi satu sama lain dengan kanak-kanak itu atau orang sekelilingnya.

Walaupun mereka tidak ada interaksi, namun mereka tetap memberi perhatian pada satu sama lain.

Ini adalah permulaan anak untuk mempunyai minat untuk bermain bersama kanak-kanak lain tapi masih belum lagi mencuba.

Bermain bersebelahan atau selari (parallel play) adalah asas bagi anak untuk mula bermain dengan lebih kompleks yang melibatkan peraturan cara bermain.

Ibu ayah boleh lihat tanda ini pada anak dan cuba menegur dan beri semangat pada anak memberanikan diri bermain bersama rakan lain, iaitu seterusnya melibatkan cara bermain berhubungan (associative play).

Bermain berhubungan (associative play)

Ini adalah saat di mana anak mula rapat dengan kanak-kanak lain. Mereka tidak lagi hanya beri perhatian pada mainan sahaja tapi telah mula beri perhatian dan minat pada kanak-kanak lain.

Anak akan mula bertanya soalan dan berkongsi minat mainan dengan kanak-kanak lain. Mereka akan bermain tanpa ada sebarang peraturan tetapi mempunyai matlamat bermain yang sama.

Sebagai contoh mereka bermain membina dan menyusun block bongkah kayu, tapi tidak ada sebarang peraturan atau organisasi dalam bermain.

Bermain bersama atau sosial (social play)

Saat ini anak akan belajar cara bermain secara kompleks yang melibatkan peraturan dan organisasi dalam bermain. 

Anak akan mula bermain bersama atau bermain secara sosial (social play) bersama kanak-kanak lain dan menetapkan peraturan.

Sebagai contoh apabila mereka bermain polis entry dan sembunyi cari (hide and seek), anak akan mula memahami peraturan dan mula membuat organisasi bermain (siapa yang sembunyi, dan siapa yang mencari, siapa polis siapa pencuri) dalam bermain bersama secara sosial.

Ini adalah peringkat paling tinggi dalam cara anak bermain dan anak sudah mempunyai asas yang kukuh dalam melakukan aktiviti.

Peringkat ini anak akan mula belajar untuk bekerjasama, bertoleransi, dan skill dalam menyelesaikan masalah.

Anak akan mula belajar untuk bersosial dan berinteraksi dengan baik dengan rakan-rakannya dan juga mengawal emosi perasaannya.

Ibu ayah juga perlu memainkan peranan jika ada anak tidak faham atau pergaduhan ketika anak bermain bersama secara sosial kerana ia melibatkan kemahiran yang kompleks untuk bermain (peraturan,toleransi dan kerjasama).

Rasanya itu saja perkongsian kami setakat ini berkaitan peringkat bermain anak. Oleh itu, Ibu ayah benarkanlah anak bermain dan lihatlah bagaimana mereka belajar dari bermain dan menjadi matang.

Jangan hanya fokus pada prestasi akademik semata-mata tanpa membenarkan anak bermain keluar rumah akan menyebabkan anak lembab dan kurang kreatif.

Semoga perkongsian kali ini bermanfaat.

 

Pautan link : Facebook

Tinggalkan komen anda

×